DASAR AUTOMOTIF NASIONAL




    Sektor automotif merupakan industri penting kepada ekonomi Malaysia. Sumbangan sektor ini kepada ekonomi negara adalah besar, serta berkait rapat dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan. Sektor automotif bermula dengan pengimportan kenderaan yang kemudiannya berkembang kepada operasi pemasangan serta pembangunan industri komponen automotif.

    Bagi tujuan itu, Kerajaan akan mengekalkan langkah-langkah yang difikirkan perlu, dan seterusnya, memperkenalkan langkah-langkah baru bagi menggantikan langkah-langkah sedia ada yang tidak lagi bertepatan dengan kepentingan nasional, agar langkah-langkah tersebut dapat terus merangsang pembangunan dan kemajuan sektor automotif.


    LATAR BELAKANG SEKTOR AUTOMOTIF

    Pada masa ini, sektor automotif terdiri daripada beberapa pihak terbabit yang merentasi keseluruhan rantaian nilai sektor ini. Terdapat empat pembuat kenderaan penumpang dan komersil termasuk Proton dan Perodua. Terdapat satu pembuat motosikal iaitu Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS).

    Berdasarkan rekod prestasi perkembangan dan kestabilannya selama ini, sektor automotif di Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk berkembang pada masa hadapan.


    OBJEKTIF  DASAR AUTOMOTIF NASIONAL

    Untuk merangsang perkembangan sektor automotif negara seterusnya, pembagunan sektor automotif Malaysia akan berteraskan lima objektif utama iaitu:

    1. Untuk menggalakkan sektor automotif yang kompetitif dan berdaya maju, terutamanya pembuat kereta nasional

    2. Untuk menjadi hab serantau untuk pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan automotif

    3. Untuk meningkatkan nilai tambah dan keupayaan tempatan di dalam sektor automotif

    4. Untuk menggalakkan pembuat kenderaan dan vendor komponen Malaysia yang berorientasikan eksport

    5. Untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan meluas di dalam sektor pembuatan, pengedaran dan pengimportan kenderaan serta di dalam pembuatan komponen

    STRATEGI DASAR BAGI SEKTOR AUTOMOTIF

    1. Untuk menggalakkan sektor automotif yang kompetitif dan berdaya maju, terutamanya pembuat kereta nasional

    Kerajaan akan menyediakan sokongan dan insentif untuk meningkatkan daya saing pembuat kenderaan automotif di negara ini, terutamanya pembuat kereta nasional Proton dan Perodua, serta memberi sokongan yang diperlukan kepada pemasang kenderaan automotif yang sedia ada untuk terus berdaya maju di Malaysia.

    2. Untuk menjadi hab serantau untuk pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan automotif

    Kerajaan akan terus menyediakan insentif dan infrastruktur serta melaksanakan dasar yang sesuai bagi menarik para pembuat dan pemasang kenderaan automotif untuk terus bertapak atau untuk melabur di Malaysia.

    3. Untuk meningkatkan nilai tambah dan keupayaan tempatan dalam sektor automotif

    Kerajaan akan terus melaksanakan dasar yang perlu bagi menggalakkan perkembangan nilai tambah di sepanjang rantaian pembekalan automotif, serta meningkatkan keupayaan tempatan.

    4. Untuk menggalakkan pembuat kenderaan dan vendor komponen Malaysia yang berorientasikan ekspot

    Kerajaan akan terus menyediakan hala tuju dan bantuan kepada mereka yang terbabit dalam sektor ini untuk mempelopori atau mengembangkan pasaran eksport, terutamanya melalui insentif promosi ekspot.

    5. Untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan meluas di dalam sektor pembuatan, pengedaran dan pengimportan kenderaan serta di dalam pembuatan komponen

    Kerajaan akan menyediakan sokongan dan insentif bagi meningkatkan penyertaan dan tahap daya saing syarikat Bumiputera dalam sector automotif. Ini termasuk tahap ekuiti saham Bumiputera, memastikan perkembangan modal insan Bumiputera yang progresif dan memupuk keusahawanan Bumiputera dalam bidang-bidang yang berkaitan.

    E. LANGKAH-LANGKAH UNTUK PERLAKSANAAN SERTA-MERTA

    Bagi mencapai objektif-objektif bagi sektor automotif, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

    1. Memperkenalkan Dana Pelarasan Industri (Industrial Adjustment Fund)  

    Dana Pelarasan Industri akan diperkenalkan untuk membantu pembuat tempatan menghadapi cabaran-cabaran yang dibawa oleh peningkatan persaingan dan liberalisasi. I

    2. Pemberian Insentif kepada syarikat pembuat komponen

    a) Projek Kerjasama

    Projek kerjasama dengan rakan dua hala Perjanjian Perdagangan Bebas (Free Trade Agreement) (FTA) akan dimanfaatkan untuk meningkatkan dayasaing industri automotif tempatan, terutamanya pembuat komponen. 


    b) Sokongan terhadap Program Bekalan Global (Global Supply Program)

    Program Bekalan Global ini akan dilaksanakan untuk membolehkan pembuat komponen tempatan berkembang dan menembusi rantaian bekalan global syarikat-syarikat automotif utama. Program ini akan dilaksanakan melalui penglibatan di dalam sektor-sektor keutamaan ASEAN selain daripada melalui FTA-FTA dan perundingan.

    3. Mewujudkan Geran-Geran Latihan

    Geran-geran latihan akan dipertimbangkan untuk pembuat dan pemasang automotif serta pembuat komponen yang menyediakan peluang-peluang latihan untuk kakitangan mereka bagi meningkatkan tahap kemahiran dan kecekapan mereka. 



    4. Mewujudkan Geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

    Geran Penyelidikan dan Pembangunan akan diberikan kepada pembuat automotif serta pembuat komponen yang menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan termasuk merekabentuk, membuat prototaip, serta bagi pembangunan dan penambahbaikan produk.

    5. Menetapkan Pusat-Pusat Pengeluaran untuk Sektor Automotif

    Kawasan-kawasan berikut akan ditetapkan sebagai kawasan pembuatan atau pengeluaran automotif, iaitu:

    · Gurun (Kedah);
    · Bertam, Seberang Perai (Pulau Pinang);
    · Pekan (Pahang);
    · Tanjung Malim (Perak);
    · Shah Alam dan Rawang (Selangor).

    6. Memastikan Pematuhan Standard dan Teknikal

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan ’Vehicle Type Approval’ (VTA), yang melibatkan pematuhan terhadap piawaian keselamatan antarabangsa. Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menguatkuasakan piawaian emisi dan penggunaan bahan api.

    7. Memperluaskan Dana Perolehan Teknologi

    Dana Perolehan Teknologi (TAF) akan diperluaskan kepada sektor automotif. Setakat ini, syarikat milik tempatan yang memerlukan teknologi baru untuk memperkukuhkan kemampuan teknologi mereka boleh memohon geran sebahagian (partial grant) daripada dana ini.

    8. Mewujudkan Geran Pembangunan Pasaran

    Geran Pembangunan Pasaran akan disediakan bagi Industri Kecil dan Sederhana untuk digunakan bagi usaha mengembangkan pasaran eksport. Dalam konteks ini, syarikat-syarikat boleh memperolehi geran sepadan sebanyak 50 peratus daripada kos aktiviti yang dibenarkan.

    9. Mewujudkan Insentif Khas (Customised Incentives)

    Insentif Khas akan disediakan bagi syarikat yang melabur di dalam industri automotif tempatan, setelah ianya diberi pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya. Insentif ini akan diberikan bertepatan dengan keperluan spesifik pelabur berkenaan. 

    · nilai tambah yang tinggi;
    · tahap pemindahan teknologi;
    · peningkatan dalam tahap kepakaran;
    · tahap pendapatan tukaran asing;
    · pengukuhan rantaian nilai pembuatan;
    · pembangunan jaringan di dalam industri; dan
    · tahap R&D yang dijalankan.

    10. Pindaan terhadap Lesen Import (AP )

    Kajian yang mendalam terhadap isu berhubung Lesen Import telah dijalankan. Lesen Import yang secara asasnya digunakan untuk pemantauan dan pengumpulan data, akan dilupuskan dalam jangka masa panjang. Buat masa ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

    a) Membekukan pengeluaran AP francais untuk pengimportan kereta berjenama baru

    · Pertukaran pegangan ekuiti dalam syarikat pemegang AP francais bagi jenama sedia ada, dapat dipertimbangkan untuk kelulusan

    b) Menghentikan pengeluaran AP francais untuk pe ngimportan kenderaan ’tuned-up’, bermula 1 Januari 2006

    · Pemegang AP francais bagi kenderaan ’tuned-up’ tidak akan dibenarkan untuk meneruskan perniagaan di dalam bidang ini selepas 1 Januari 2006;

    c) Membenarkan Syarikat Awam Berhad kawalan Bumiputera untuk memohon AP secara langsung

    · Syarikat Awam Berhad kawalan Bumiputera akan dikecualikan daripada memenuhi syarat pegangan ekuiti Bumiputera tidak kurang dari 70 peratus bagi AP francais;

    · Sebelum ini, Syarikat Awam Berhad kawalan Bumiputera terpaksa menggunakan pengimport perantaraan untuk mengimport kenderaan. Dengan pengecualian ini, Kerajaan menjangkakan syarikat seperti DRB Hicom Bhd dan Sime Darby Bhd, yang pada masa ini merupakan pemegang francais jualan eksklusif untuk jenama kenderaan tertentu, akan mengimport kenderaan secara langsung tanpa perlu menggunakan pengimport perantaraan.

    d) Menghadkan pengimportan kenderaan terpakai melalui AP terbuka kepada kenderaan yang berusia satu (1) hingga lima (5) tahun sahaja

    · Kenderaan terpakai yang berusia kurang daripada satu (1) tahun tidak boleh diimport. Pengimportan seumpama ini pada masa lalu ada melibatkan penyelewengan.

    Kongsikan Info ini




    http://bit.ly/pengetahuanam
    (  Sumber Rujukan PA Anda  )



    Leave a Reply

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Blog ini di dalam Network Pra Universiti 
    ( Peringkat Percubaan )